Sabtu, 9 Februari 2013

TEORI RELEVANS

Teori relevans telah dicadangkan oleh Sperber dan Wilson (1986) bagi menggantikan teori Grice. Teori relevans mencakup fakta tentang pembentukan dan pemilihan konteks serta prinsip relevans. Teori ini juga menekankan aspek perbualan lisan, kesan poetik, dimensi penggunaan bahasa dari segi deskriptif dan interpretif, ujaran literal, metafora, ujaran gemaan, ironi, dan juga pertuturan (speech acts). Seperti yang telah dikatakan di atas, teori ini lebih menekankan bentuk komunikasi yang dapat difahami antara penutur dan pendengar. Selain itu, penutur seharusnya dapat menjamin yang diperbual itu benarbenar relevan serta sesuai untuk difahami oleh pendengar. Dengan kata lain, penutur dapat memastikan yang diperkata itu mempunyai ciri relevan yang optimal. Relevan yang optimal bermaksud setiap ujaran itu mempunyai kesan kesan konteks yang maksimum yang dapat dirumuskan dalam masa sesingkat mungkin. Dengan itu, konteks haruslah seimbang dengan masa memproses bagi menghasilkan kandungan maklumat yang diharapkan. Apabila sesuatu ujaran disampaikan, menjadi tanggungjawab si penutur untuk menjamin maklumat yang disampaikan itu relevan dan setimpal dengan perhatian yang diberikan oleh pendengar apabila diproses mengikut konteks. Bagi pendengar dia cuba untuk memperoleh kesan konteks yang mencukupi dan kesan ini mestilah mudah untuk diperoleh. Kerjasama yang erat ini memungkinkan maklumat dapat disampaikan dengan mudah bagi penutur dan bagi pihak pendengar pula dapat menerima maklumat yang tepat dan jitu. Untuk memproses maklumat dengan tepat, teori relevan telah menetapkan tiga gagasan utama iaitu konteks, kesan konteks dan kos memproses. Tiga gagasan ini dibantu oleh subgagasan yang lain iaitu pengayaan, pemilihan rujukan, dan penyahtaksaan maklumat bagi melicinkan penginterpretasian makna. Konteks adalah seberkas andaian tentang dunia yang dibina secara psikologi oleh pendengar. Ia tidak terhad kepada maklumat tentang persekitaran fizikal yang paling dekat dan ujaran terdahulu yang paling hampir. Konteks juga dapat melibatkan masa depan, hipotesis santifik atau kepercayaan keagamaan, kenangan lucu, andaian am tentang budaya dan kepercayaan terhadap pemikiran si penutur. Kesemuanya memainkan peranan dalam interpretasi. (Sperber dan Wilson; 1986:15). Kita seharusnya sedar bahawa pembinaan konteks adalah bahagian terpenting dalam penginterpretasian ujaran, perkara yang berlaku iailah daripada bentuk proposisi yang didengar, si pendengar akan menetapkan konteks yang sesuai bagi melahirkan (kesan konteks). Selain konteks, kesan konteks juga penting bagi menghuraikan proses pemahaman sesuatu ujaran. Sesuatu ujaran dianggap lebih relevan jika mempunyai lebih kesan konteks. Soalnya sekarang apakah yang dimaksudkan dengan kesan konteks? Kesan konteks ialah andaian awal yang ada pada pendengar. Dalam perbualan pendengar akan menggabungkan atau memperkuat atau menggugurkan konteks yang dikemukakan oleh penutur dengan andaian awalan yang sedai ada bagi menghasilkan kesan konteks. Bagaimana kesan konteks terbina? Dalam perbualan, pendengar akan membina kemudiannya memproses beberapa andaian sebagai wacana awalan. Latar belakang konteks akan terus berubah selagi ada maklumat baru ditambah. Iai bermakna kita akan terus membuat andaian baru kepada andaian yang telah sedia ada dan juga telah diproses pada peringkat awalnya. Jadi, bagi mengelakkan kekeliruan, pendengar mestilah sentiasa sedar bahawa apabila beliau menginterpretasi sesuatu ujaran, beliau tidak hanya terbatas kepada andaian lama yang telah sedia ada. Tetapi juga harus peka dengan kehadiran maklumat serta andaian baru. Seterusnya, kos memproses ialah usaha pendengar dalam memproses maklumat atau makna ujaran. Sekirnya ujaran itu dapat difahami dengan mudah, maka kos memproses maklumat bagi ujaran tersebut dapat dianggap rendah. Tetapi jika ujaran yang dihasilkan itu dipenuhi dengan soalan-soalan, ia akan meningkatkan lagi kos memproses sesuatu ujaran. Sesuatu ujaran akan dianggap kurang relevan sekiranya kos memproses tinggi. Bagi pihak penutur, os memproses penting bagi memastikan ujarannya dapat difahami dengan mudah oleh pendengar