Jumaat, 19 Julai 2013

Mengapa saya berfikir begini ?

Malam bukannya semakin larut, tetapi sebenarnya waktu pagi sudah menjenguk, tetapi saya masih di hadapan monitor ini. Yea, tadi selepas sembahyang terawih, saya lantas tidur, mengantuk. Yealah dalam usia begini, terasa mengantuk tu sudah semacam satu kemestian. Tiba-tiba saya terjaga, dan dalam kenanaran itu saya terlihat jam di handphone menunjukkan pukul 1300, dan saya lantas bangun. Dan kita selalu terfikir bahawa, memang betul kita itu hebat, dan kita suka menjadi hebat apabila kita seronok melihat orang lain lemah. Kita akan berasa kita lebih hebat, tetapi percayalah, kalau kita ini hanya insan biasa, kita sebenarnya tidaklah sehebat mana. Manusia ini biasanya paranoid, maksudnya takut untuk dianggap lebih lemah. sikap ini mendoromg manusia itu suka mencari kelemahan orang, dengan tujuan untuk mungkin menutup kelemahan yang ada dalam dirinya. Pada saya, setiap insan itu mempunyai keunikannya sendiri, kehebatannya sendiri, keistimewaannya sendiri dan ini jelas bahawa perseimbangan kejadian manusia itu terungkap dalam tindak tanduknya apabila kita berhadapan dengannya. Saya selalu bersikap positif dengan manusia yang saya ajak berbicara, tetapi saya biasanya akan kecewa bahawa seseorang itu beranggapan dia lebih baik, lebih bagus, lebih alim, dan segala-galanya lebih bagus. Walau bagaimanapun saya menyedari sikap demikian adalah natijah daripada perasaan takut untuk menerima kenyataan, sebenarnya diri sendiri lemah, kurang mahir dan kurang alim mungkin. Saya amat faham bahawa perasaan untuk mengiakan andaian sebenarnya, satu sikap semula jadi manusia. Dalam berteleku saya biasanya mengatakan, Ya Allah aku ini makhluk-Mu yang amat lemah, aku pasrah di hadapan-Mu bahawa aku hanyalah hamba-Mu yang amat kerdil. Maafkan hamba-Mu ini, Hamba-Mu ini mengakui bahawa pencarian keredhaan-Mu, hanya pada-Mu sahaja. Saya selalu mengatakan bahawa saya tidak mahu mencari apa-apa dalam hidup ini. Kerana saya tidak pernah mahu meletakan keperluan peribadi mengungguli keperluan lain. Hanya satu sahaja yang saya kehendaki dalam hidup ini, yaitu keredhaan-Mu Yea, mungkin orang tidak faham bahawa hubungan sesama manusia itu saling menimba maklumat. Apa yang kita ujar, sebenarnya umpama bingkisan yang di dalamnya terungkap beberapa tanda ( sign ) yang memerlukan tindak balas. Maklumat akan terungkai apabila kita bertindak balas terhadap tanda tadi. Tidak mungkin kita faham seseorang itu dengan hanya mendengar satu ujarannya sahaja. Ujarannya itu berkemungkinan boleh dirungkai, jika kita mengetahu latarnya. Kadang-kadang tanpa diberitahupun kita mungkin boleh mengetahui apa yang cuba dirahsiakan. 20 Julai 2013 330 pagi