Blog ini saya khususkan kepada sesiapa sahaja yang suka berkongsi maklumat tentang apa-apa sahaja tajuk yang bersangkut paut dengan kehidupan kita.
Isnin, 21 Disember 2009
Menghasil karya berkesan
Sesuatu tulisan yang mesejnya kabur dianggap gagal sebagai saluran untuk berdakwah dan mendidik masyarakat walaupun susunanbahasanya indah, isinya baik dan penuh pengalaman menarik. Ia tidak boleh menjadi hujah, sandaran dan pandangan untuk mula mengamalkan kebaikan yang terkandung dalam ajaran Islam.
Bahasanya mudah
Tidak mempunyai istilah dan konsep yang sukar difahami atau perkataan-perkataan yang tinggi-tinggi (bombastik). Biarlah bahasanya mudah difahami dan sudah sebati dengan semua peringkat masyarakat. Jangan biarkan penyampaian mesej di dalam tulisan tersekat oleh bahasa yang hanya difahami oleh segelintir masyarakat. Walaupun begitu, keindahan dan kejituannya tetap dipertahankan.
Rentak dan gayanya menarik
Tulisan yang baik seolah-olah bercakap kepada pembacanya. Ayat, susunan bahasa dan tanda bacaannya dijaga supaya nada rentaknya dapat ‘didengar’ oleh pembaca. Gunakan ayat yang pe ndek-pendek. Sekali-sekala selang-selikan dengan ayat-ayat majmuk yang tidak terikat (rigid) dengan tatabahasa, tanda bacaan dan penambahan-penambahan hingga penyentuhannya tidak mesra, kaku dan keras kejang seperti robot.
Liuk-lentuk tulisan mesti dapat dirasai. Penggunaan gaya bahasa bergantung kepada corak tulisan. Gaya bahasa pojok tentu tidak sama dengan gaya bahasa rencana atau puisi. Yang penting jangan sekali-kali lari dari bahasa mudah.
Mengusik fitrah
Hakikat manusia (insan) itu adalah fitrahnya (roh atau jiwanya). Nafsu yang ada dalam diri manusia hanya menjadi pendorong, penggerak untuk ia bertindak. Oleh itu mesej atau isi tulisan yang hendak disampaikan walau di bidang mana sekalipun mesti ‘mengusik’ hati atau fitrah manusia. Maka barulah dengan itu ia dikira berjaya.
Menepati sasaran
Setiap tulisan mempunyai pembaca sasaran (target audience) – boleh jadi umum ataupun khusus. Namun ada kalanya pengkhususan itu penting. Sasaran dikira tepat jika sesuatu tulisan menimbulkan kesedaran dan keinsafan. Sasaran dianggap melencong jika pembaca marah, melenting dan sakit hati. Bagaimanapun pembaca yang mempunyai sifat ego dan hasad dengki yang keterlaluan, tetap menolak walau bagaimana baik sekalipun sesuatu tulisan. Golongan ini diberi sasaran yang paling akhir dalam sesebuah penulisan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan