Isnin, 31 Mei 2010

Bahasa Pertuturan

Saya teringat kata-kata Prof Madya Arbak Othman, bahawa bahasa itu sebagaimana yang dituturkan oleh penutur jatinya. Dan disebabkan saya ini berpegang kepada pendapat Halliday bahawa bahasa itu fungsinya adalah untuk menyampaikan maklumat melalui ujaran, jadi pertuturan lisan itu sepatutnya menjadi rujukan yang paling tepat. Walaupun bahasa tulisan berbeza dengan bahasa pertuturan, sepatutnya bahasa lisan dirujuk apabila menghadapi permasalahan kegramatisan sesuatu ayat itu. Bahasa lisan berbeza kerana makna sesuatu ujaran itu kadang-kadang perlu disandarkan kepada persekitaran, rujukan tajuk ujaran dan juga lenggok bahasa badan si penuturnya. Bagi pendokong aliran TG sepatutnya berasa senang hati kerana bahasa ujaran lisan biasanya ditandainya dengan unsur-unsur yang tidak dizahirkan atau diujarkan. Dalam konsep TG biasa disebut struktur dalaman atau deep structures. Dalam keadaan ini nampaknya pendekatan pragmatik lebih menyerlah kerana pendekatan ini mampu menghurai maksud ujaran yang taksa, yang tidak dinyatakan secara jelas oleh penuturnya. Tetapi makna sesuatu ujaran mampu ditafsir apabila sama ada pendengar atau sipenutur merujuki makna persekitaran, konteks dan kesan konteks sebelum mencapai kepada pentafsiran yang terakhir. Maaf mungkin ulasan saya agak berbelit-belit tetapi itulah saya sering mengutarakan bahawa semakin kita banyak belajar kita semakin berasa banyak lagi yang kita nak tahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan