Sabtu, 20 Julai 2013

Hanya Pendapat Saya Tentang Bahasa

Saya begitu tertarik dengan fenomena penggunaan imbuhan dalam bahasa Melayu. Kita tahu, bahawa sifat semulajadinya bahasa dalam keluarga Austronesia itu dicirikan oleh penggunaan imbuhan untuk menerbitkan makna yang ingin disampaikan. Dan sifat semula jadi ini yang agak menghalang proses pembentukan kata bahasa Melayu. Yang menyebabkan penutur bahasa banyak membuang masa membicarakan proses morfologi yang bercelaru ini. Pengimbuhan yang pelbagai; imbuhan awalan, akhiran, sisipan dan apitan begitu kompleks sifatnya. Ciri ini diburukkan lagi dengan adanya proses reduplikasi atau penggandaan dalam sesetengah perkataan. Yang anihnya perkataan yang sudah menerima imbuhan, perlu mengalami proses penggandaan, dan akibatnya timbul kecelaruan dalam penulisan. Pada pendapat saya, pihak perancang bahasa, seharusnya bersikap rasional dalam melaksanakan kodifikasi bahasa. Seharusnya pengumpulan data secara lapangan itu diutamakan, dan bukannya perancangan itu melalui bahan rujukan yang tidak konsisten dengan perkembagan penggunaan bahasa itu sendiri. Maksud saya, penggunaan dalam kalangan penutur jati itu amat penting untuk dikaji. Pada bahasa yang penutur jati gunakan itulah bahasa yang betul. Bukannya kita yang berhak mengatakan itu, ini tidak betul, tidak gramatis dan tidak betul nahunya. Apa hak kita sebenarnya. Kerana saya mengkaji ujaran, maka saya amat suka jika pembicaraan kita difokuskan kepada perkembangan bentuk ujaran. Saya percaya bahasa Melayu itu perlu disebut sebagaimana ditulis. Hal ini demikian kerana sebutan bahasa Melayu selari dengan bunyi suku kata sebagaimana dieja. Dan inilah yang sepatutnya diikuti. Tetapi tidak, para pemuka bahasa suka membuat rumus, tetapi mereka sendiri yang melanggarinya. Perkara ini saya sedari, semasa saya berkesempatan berbual dengan orang biasa ketika melakukan lawatan di Indonesia. Dia bertanya “ Mengapa Pak ya, di Malaysia istri dieja isteri di Malaysia, di sini berbeda Pak, istri itu jelas sebagaimana yang kita ujarkan”. Dan banyaklah perkataan lain, yang demikian. Saya juga amat kecewa kerana sebahagian besar perkataan yang terdapat dalam kamus itu, sama ada kita tidak pernah jumpa, dan tidak pernah menggunakannya. Saya bersikap demikian kerana, malas memikirkan polemik yang berpanjangan tentang masalah bahasa yang sepatutnya tidak menjadi masalah. Bahasa itu berevolusi dan berkembang. Dan keberadaan bahasa itupun kerana adanya penutur yang bersedia dengan senang hati dan bersuka rela untuk menggunakannya. Kalau tiadanya penutur jati, tiadanya keperluan menggunakan bahasa ini, saya fikir sudah lama bahasa ini terkubur. Sebagai kesimpulannya, saya harap pembaca faham, mengapa saya agak berbeza pendirian dalam hal-hal bahasa. Saya sayang bahasa ini dan tetap optimis tentang perkembangannya. Tetapi perlu juga disedari bahawa pembicaraan bahasa itu bukannya bertujuan merumitkan pemahaman penggunaannya. Perlu juga disedari bahawa bahasa itu juga hak masyarakt penutur bahasa itu. Jadi dalam apa juga perkembangannya, ita perlu secara konsisten merujuki mereka sebagai sumber untuk mencari kebenaran. Wasalam 11.00 Malam 20 Julai 2013 Di Kamar sepi studiku.