Isnin, 22 Jun 2009

Budaya berimplikatur

Apabila kita berhadapan dengan sahabat yang rapat kita selalunya sukar untuk menolak ajakkannya. Saya memang seorang yang seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan harapan orang. Ajakan dan pelawaan biasanya saya akan terima walaupun pada masa itu saya sibuk dengan pekerjaan. Inilah kelemahan saya. Kelemahan itu mungkin didorong oleh sifat yang kurang bertegas dalam melakukan apa juga tindakan. Masalah itu mungkin menjadi igauan kepada saya, jika kadang-kadang saya lebih mementingkan orang lain lebih daripada keluarga sendiri. Saya kadang-kadang berfikir mengapakah orang-orang ini tidak menyedari tindakan mereka itu sebenarnya menganggu keselesaan dan privacy orang lain. Kemungkinan kegemaran orang lain mengajak saya berbual dan minum-minum petang kerana saya seorang pendengar yang baik. Saya suka memberi ruang kepada sesetengah individu yang bermasalah melepaskan tekanan yang mereka hadapi. Tapi sedarlah bahawa setiap orang mempunyai masalahnya sendiri. Para kaunselor yang cuba menyelesaikan masalah orang lain itu juga sebenarnya dia sendiri mempunyai masalah yang dia sendiri tidak atau gagal menyelesaikannya. Pengetahuan pragmatik yang saya ada telah saya menafaatkan untuk menyatakan tidak tanpa menyinggung perasaan orang lain. Setiap ajakan kawan, dan kalau saya berasa hal yang ingin dibincangkan tidak begitu penting, saya akan menolaknya dengan berhemah. Soalan , "Mari kita minum" Jawapan, " Petang ni ada siaran langsung badmintonlah " Saya tidak mengatakan tidak mahu, tetapi kawan saya sedia memahami bahawa saya menolak ajakkannya. Soalan, , " Dah tengah hari ini, petang ni kita ada mesyuarat". Saya faham kawan saya sedang menggunakan teknik berimplikatur. Dia tidak pernah meminta saya mengajaknya makan tengah hari. Tetapi saya tahu dia cuba mengajak saya makan tengah hari. Lagipun saya tahu benar dia memang selalu keputusan duit. Walau apapun percakapan orang, jangan kita fikir ujaran orang itu mempunyai maksud yang literal atau selapis sahaja, tetapi sebenarnya dia sedang menggunakan kebijaksanaannya dalam berimplikatur untuk memastikan tujuan ujarannya sampai kepada matlamat yang dihajatinya. Wallahuaklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan