Isnin, 27 Julai 2009

Pemikiran Analogis

Pemikiran Melayu cukup analogis sifatnya. Kerana pemikiran disampaikan melalui kaedah perumpamaan, kiasan, tamsil ibarat, dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan, kegeligaan dan kebijaksanaan minda Melayu. Kalau dalam kaedah fikiran logikal-deduktif yang dikembangkan di Barat berdasarkan syllogism Aristotle, ada premis pertama dan permis menengah (kedua), yang diakhiri dengan kesimpulan, orang Melayu juga mempunyai cara pemikirannya sendiri untuk menyatakan ‘kebenaran’ yang sama secara tidak langsung melalui teknik perumpamaan, kiasan, dan ibarat, tidak melalui proses deduktif-logikal yang belum tentu dapat menyatakan kebenaran yang pragmatik, yakni kebenaran yang tidak hanya berdasarkan logik tetapi ditentukan melalui pengalaman manusia. Pemantun Melayu misalnya, berfikir dari tahap ‘bayangan maksud’ ke tahap penyataan maksud. Boleh dianggap bahawa bayangan maksud dalam rangkap pertama pantun empat kerat ialah ‘premis’nya yang diciptakan secara imaginatif untuk membawa pendengar/pembaca, melalui jalan bahasa estetik, kepada maksud pantun itu. Saya menganggap bahawa pantun memperlihatkan upaya kreativiti minda Melayu untuk menyatukan imaginasi dalam rangkap pertama dengan akal (maksud) yang diungkapkan pada rangkap berikutnya. Dengan kata-kata lain, minda sebelah kanan otak manusia Melayu itu (tempat letaknya emosi manusia) digabungkan dengan minda sebelah kiri otak ( tempat letaknya fikiran logikal dan rasional ). Struktur pemikiran ini diberikan kesan estetik melalui bahasa yang berangkap dan berirama. Einstein, manusia yang dianggap cukup geliga otaknya, pernah berkata bahawa imagination is more important (powerful) than knowledge. Kata pepatah Cina, sebuah gambar lebih berharga, lebig berkuasa, daripada seribu perkataan. Memang manusia selalu membayangkan sesuatu ‘objek’ atau memikirkan ‘konsep’ dahulu sebelum objek atau konsep itu ‘dibahasakan’ atau diverbalised. Kaedah berfikir secara analogis ini banyak sekali terdapat dalam peribahasa dan pepatah Melayu. Bahasa yang digunakan ialah bahasa metaforik. Sesuatu objek atau konsep yang abstrak diumpamakan dengan objek lain yang lebih konkrit. Kita mungkin tidak menyedari bahawa dalam percakapan kita sehari-hari, kita sering menggunakan bahasa metaforik. Misalnya kita memberi nilai ekonomi kepada masa dengan berkata masa itu emas atau menghabiskan masa, dan sebagainya. Kaki manusia dan haiwan digunakan juga untuk kaki bukit, kaki langit, bahkan metafora ini sampai tahap yang lebih kompleks lagi sehingga orang Melayu dapat menciptakan ungkapan seperti kaki botol, kaki perempuan, kaki judi dan sebagainya, untuk menyatakan maksud ‘handal’ dan’ahli’. Entah siapakah yang mula-mula menciptakan ungkapan ini, kita tidak tahu, tetapi yang penting ialah akal Melayu cukup kreatif, dan kerana itu bahasa Melayu sentiasa produktif, hidup, dinamik dan bertenaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan