Rabu, 19 Ogos 2009

Sejarah Linguistik

Linguistik moden lahir apabila para sarjana mula melihat bahasa daripada perspektif penuturnya ( Simpson 1980 ). Mereka melihat bahasa daripada perspektif sinkronik berbeza dengan perspektif dikronik yang menjadi amalan ahli-ahli linguistik pada abad ke 19. Perubahan pendekatan ini merujuk kepada idea Ferdinand de Saussure dalam buku yang terkenal selepas kematiannya, ditulis oleh anak muridnya Cours de linguistique generale ( de Saussure 1916 ). Beliau tidak lagi melihat bahasa sebagai satu entiti yang dilihat daripada luar dalam perubahannya mengikut masa, tetapi melihat bahasa daripada dalam, sebagai satu sistem ( langue ). Sistem memperlihatkan potensi bahasa sebagai pilihan kepada penutur untuk mengeluarkan ujaran. Potensi ini dilihat daripada hubungan paradigmatik, iaitu hubungan antara lambang dalam sistem secara mengufuk. Berdasarkan ciri inilah Saussure melihat bahasa daripada perspektif penuturnya, kerana daripada sudut penutur yang mengungkapkan pada ketika itulah sistem pilihan itu penting. Saussure seterusnya melihat sistem tersebut menjadi menjadi ciri utama pertuturan dalam keseluruhan komuniti penutur, bebas daripada pengaruh individu tertentu semasa bercakap ( parole ). Sistem ini menurut Saussaure wujud berbeza daripada apa yang orang kebanyakan ujarkan, situasi dimana ujaran itu dilakukan, dan juga apa perkara yang ingin di sampaikan. Pendekatan ini, iaitu bahasa sebagai satu sistem ( langue ) merujuk kepada konvensi sosial, atau aturan pertuturan masyarakat. Sistem ini secara keseluruhannya tidak dapat dikuasai sepenuhnya oleh seseorang individu. Saussure tidak berminat mengkaji parole, apa yang sebenarnya orang ujarkan, tetapi kecenderungannya ialah mengkaji langue, iaitu sistem yang membolehkan seseorang itu berkeupayaan mengujarkan sesuatu. Idea beliau amat berpengaruh dalam perkembangan aliran strukturalisme dan selepasnya. Pengaruh ini juga menjangkau dalam bidang strctural antropology dan semiotik ( Levi-Strauss 1966; Propp 1968; Greimas 1966; Barthes 1968; Derrida 1976; Culler 1975 ). Pendekatan ini berupaya menyingkap “struktur dalaman” yang mendasari makna sebenar dalam sesuatu wacana, dan mengesahkan tanggapan Saussure tentang langue yang membolehkan wacana sebenar ( parole ) itu diujarkan. Konsep Saussure, tentang bahasa itu sebagai satu sistem adalah satu sumbangan yang amat besar dalam kajian bahasa yang menjurus kepada fungsinya, walaupun fokus beliau bukan pada konteks sebenar dalam sesuatu wacana. Sementara Saussure memberi kuliah tentang linguistik sinkronik di Paris pada tahun 1911, ahli linguistik Czech, Vilem Mathesius menerbitkan pendekatan yang menjurus kepada fungsi konteks ( Mathesius 1964 ). Sekumpulan ahli linguistik yang dikenali sebagai Prague School berpeluang untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Mereka menganalisis fungsi dan hubungan keseluruhan komponen struktural dalam sesuatu bahasa itu ( Sampson 1980 ). Ahli-ahli linguistik aliran Prague School biasanya sependapat dengan Saussure dalam mendiskripsi fungsi elemen-elemen linguistik dan kedudukannya dalam sistem, tetapi tumpuan utama ialah pada idea apakah sebenarnya manusia lakukan terhadap bahasa. Mathesius menentang pendapat yang mengatakan bahawa linguistik dan stilistik itu berbeza daripada segi bahan, tetapi hanyalah pada tujuannya. Sementara tumpuan linguistik ialah untuk merungkai semua elemen dalam sesuatu bahasa, dan potensi penggunaannya, stilistik pula hanya ditumpukan kepada penggunaan dalam karya-karya fiksyen. Dalam lain perkataan Mathesius tidak berminat dalam mendefinisi bahasa sebagi satu sistem ( langue ) bebas daripada bagaimana manusia menggunakannya, tetapi bahasa sebagai satu punca ( sistem dan struktur ) untuk manusia melakukan sesuatu dan apa yang mereka lakukan dengannya. Kemudian terbit pula systemic functional grammar yang terbit daripada London School of linguistics, seiring dengan perkembangan Prague School tadi. Ahli-ahli linguistik daripada kedua-dua kelompok ini sering berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Bagi ahli-ahli linguistik British dan Eropah kajian mereka adalah tertumpu kepada bahasa-bahasa di Eropah dan juga bahasa Inggeris. Kepentingan bahasa tersebut dalam penggunaan di tanah-tanah jajahan mereka. Tetapi di Amerika berbeza kajian mereka kerana mereka lebih menumpukan kepada kajian-kajian bahasa-bahasa kaum pribumi. Ini menyebabkan ujaran-ujaran yang pada anggapan orang luar tidak mempunyai implikasi sosial tetapi akan mempunyai makna yang berlainan apabila diajukan kepada penutur jati sesuatu bahasa itu. Keadaan inilah yang menjadi tumpuan kajian dan perkembangan tatabahasa sistemik itu. J. R. Firth seorang profesor ulung dalam Linguistik Umum di England dan pengasas “ London School” telah menengahkan satu teori bersama-sama dengan ahli antropologis Bronislow Malinowski. Idea Malinowski berkaitan dengan bahasa adalah perlakuan manusia. Ia adalah berkaitan dengan perilaku manusia berdasarkan latarbelakang kebudayaan dan sosial tertentu.. Idea ini bertentangan dengan pendapat bahawa bahasa adalah sebagai medium untuk memindahkan sesuatu idea daripada seseorang kepada seseorang lain. Sebaliknya dalam pendekatan sistemik functional, makna adalah fungsi sesuatu bahasa, iaitu apa yang manusia lakukan dengan bahasa (Firth 1957, 182 ). Memindahkan sesuatu idea hanyalah satu daripada penggunaan bahasa. Daripada sudut fungsi makna, menyampaikan sesuatu idea adalah perlakuan manusia bukannya apa yang bahasa itu ada. Fahaman bahawa bahasa sebagai satu sistem berbeza dengan idea Saussure tentang langue. Bagi Firth bahasa adalah polysystemic. Fahaman ini bermaksud bahasa terdiri daripada pelbagai sistem paradigmatik. Manusia menggunakan bahasa untuk melakukan pelbagai perkara dalam pelbagai konteks dan mereka secara berterusan membuat pilihan dalam sistem yang berbagai. Contohnya satu sistem mungkin tentang komunikasi maklumat berkaitan hal-hal dunia, kemudian ada komunikasi yang mempunyai tujuan tertentu dan ada juga bentuk komunikasi antara dua orang. Bukan semua bentuk komunikasi itu sama bentuknya. Mengikut Firth, sistem paradigmatik membolehkan penutur atau penulis membuat pilihan berdasarkan dua situasi keperihalan keadaan ( context of situation ) dan juga keperihalan kebudayaan. Mengikut Firth seterusnya, bahasa itu bercirikan sosial kerana bahasa dikongsi oleh sekelompok penutur dalam konteks sosial tertentu dan digunakan untuk melakukan sesuatu perkara dalam konteks tersebut. Teori Firth tentang bahasa, terutamanya yang berkaitan dengan kemasyarakatannya diperkembang oleh Halliday. Teori Halliday dikenali dengan nama “Neo-Firthian Linguistics” atau “ Scale and Category Linguistics” berdasarkan karangannya yang berjudul “ Categories of the Theory of Grammar” pada tahun 1961.

2 ulasan: