Isnin, 22 Ogos 2011

Bahasa Yang Maju Bagi Bangsa Yang Maju

Dr. Hussin Bin Sarif.
IPG Kampus Tun Hussein Onn,
83000 Batu Pahat.

Salam, semoga sejahtera ke atas anda yang saya kasihi. Sudah lama saya tidak menulis. Memang saya betul-betul sibuk dan selalunya tidak ada yang mendesak untuk menulis. Tetapi saya tetap konsisten untuk memperjuangkan bahasa Melayu iaitu bahasa leluhur saya. Bagi saya walau di mana-mana saya berkesempatan untuk bercakap sama ada dalam pertemuan-pertemuan akademik mahupun dalam seminar-seminar, kelangsungan bahasa Melayu untuk terus popular digunakan oleh penutur seharusnya bersandarkan kepada kerelevanan fungsinya. Saya sering mengemukakan faktor kemajuan sebagai asas penggunaan bahasa. Orang akan berusaha mempelajari bahasa bagi bangsa yang maju. Natijahnya kemajuan itu sebagai rahsia kemajuan sesebuah bahasa itu.


Ada orang berpendapat bahawa sesuatu bangsa tidak akan maju jika bahasanya tidak maju. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah ‘bahasa yang maju’? Adakah maksudnya tatabahasa atau nahu bahasa itu lebih maju daripada nahu bahasa lain? Kalau ya, apakah ukurannya? Sebenarnya, semua bahasa mempunyai tatabahasa atau nahunya sendiri, yang tidak sama dengan peraturan tatabahasa lain, walaupun ada kalanya peraturan tatabahasa itu, kebetulan sama. Kita tidak mencipta peraturan linguistik atau nahu bahasa kita, tetapi sistem itu sudah ada sejak asal sejarah bahasa kita.
Adakah sesuatu bahasa itu dikatakan maju apabila istilah dalam bahasa itu lebih kaya atau lebih banyak daripada jumlah istilah dalam bahasa lain? Hakikatnya, perbendaharaan kata dan jumlah istilah dalam mana-mana bahasa tidak pernah ‘lengkap’ atau tuntas. Setiap hari ada sahaja perkataan atau istilah baharu yang terbentuk dalam sesuatu bahasa. Bahasa Inggeris, misalnya, sentiasa menerima istilah baharu, terutama dalam bidang teknologi komputer. Istilah yang ‘pelik-pelik’ digunakan, misalnya ‘virus’, ‘mother board’, ‘bus’, ‘mouse’, ‘thumb drive’ dan berpuluh-puluh yang lain seumpamanya untuk menyatakan benda, sistem, teknologi atau idea baharu dalam bidang teknologi komputer. Hanya bahasa yang tidak berkembang lagi yang tidak melahirkan istilah baharu.
Charles Ferguson, seorang pakar sosiologi kemajuan bahasa mengatakan,
“bahasa yang maju (a developed language) ialah bahasa yang mempunyai tiga ciri, iaitu:

(a) bahasa itu sudah mempunyai tradisi atau sistem tulisan;
(b) bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam bahasa yang disebut ‘a
(b) supradialectal form’, iaitu ragam bahasa baku yang tidak sama lagi dengan pelbagai dialek yang terdapat dalam bahasa itu; dan
(c) ) bahasa itu mempunyai ciri modernisasi (maksudnya, bahasa itu berupaya menterjemahkan bentuk-bentuk wacana moden dari bahasa lain yang sudah maju dan maju)”.
Ini bermakna bahasa Melayu sudah maju sejak sekurang-kurangnya abad ke-14. Sejak abad itu bahasa Melayu sudah mempunyai sistem tulisan yang lengkap, iaitu tulisan Jawi yang digunakan untuk mengarang pelbagai kitab, hikayat dan surat rasmi kerajaan. Hikayat Melayu bertulisan Jawi yang pertama ialah Hikayat Raja Pasai yang dipercayai dikarang di Pasai (Aceh kini) beberapa tahun selepas tahun 1360. Sejak abad itu juga ragam bahasa Melayu baku, atau ragam bahasa Melayu persuratan telah wujud dan berkembang, bermula dengan hikayat tersebut, dan mulai abad ke-15 atau ke-16 bahasa Melayu baku atau bahasa Melayu persuratan inilah yang digunakan oleh kerajaan-kerajaan Melayu-Islam di seluruh rantau Nusantara.
Profesor A.A Teeuw (1962) berpendapat bahawa bahasa Melayu ‘moden’ telah berkembang sejak abad ke-17, dan antara pemikir Melayu yang ‘mempelopori’ bahasa Melayu moden ini ialah Hamzah Fansuri, pengarang dan pemikir tasawuf agung Melayu dari Aceh. Prof Muhd Naquib Al-Attas juga berkata bahawa bahasa Melayu ‘moden’ sudah berkembang dalam abad yang sama setelah Hamzah Fansuri mengembangkan fikiran yang ‘saintifik dan rasional’ dalam karya-karyanya.
Oleh itu, yang memajukan bahasa itu ialah pengguna bahasa itu. Jika kita maju, misalnya dalam badang ilmu, dan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pemikirannya, sudah tentulah bahasa kita juga turut maju sebagai bahasa ilmu. Jika kita banyak menghasilkan karya ilmu bermutu tinggi, dalam bidang apa pun, termasuk dalam bidang sains dan teknologi, dalam bahasa kita sendiri, sudah tentulah bahasa Melayu akan mempunyai kepustakaan ilmu yang kaya dan banyak. Dengan itu, para ilmuwan dari tamadun atau bahasa-bahasa lain akan tertarik untuk mempelajari ilmu yang terdapat dalam bahasa Melayu itu.
Jelas, untuk menjadi bangsa yang mempunyai kelebihan atau ‘nilai tambahan’ dalam apa jua bidang, kita hendaklah berfikir dan mencipta dalam bahasa kita sendiri. Salah satu sebab mengapa sesuatu bangsa itu ‘tidak maju’ ialah mereka tidak mampu berfikir secara kreatif dan mencipta idea-idea, ilmu dan teori-teori baharu dalam bahasa mereka sendiri, kerana mereka tidak menguasai bahasa ragam tinggi. Mereka lebih menguasai bahasa Inggeris untuk ‘berfikir tinggi’, tanpa menyedari bahawa sebenarnya mereka lebih banyak mengulangi atau meniru fikiran atau ilmu yang sudah diciptakan oleh orang Inggeris. Bangsa yang meniru fikiran atau budaya orang lain tentunya tidak akan mampu mengatasi atau bersaing dengan bangsa yang menjadi ‘model’ yang ditiru itu.
Oleh itu, tiga perkara perlu kita sedari untuk menjadi bangsa yang mampu mencipta kelebihan. Pertama, kita hendaklah menyedari bahawa bahasa Melayu sudah maju sejak ratusan tahun lamanya, dan merupakan salah satu bahasa yang terbesar di dunia. Kedua, bahasa Melayu, sebagai sistem bahasa (linguistik) mampu menjadi ‘alat’ untuk melahirkan apa sahaja fikiran, idea, ilmu, teori dan sebagainya dengan syarat kita berusaha berfikir dalam bahasa Melayu ragam tinggi, bukan dalam bahasa pasar yang bercampur aduk dengan unsur Melayu-Inggeris. Bangsa yang menggunakan bahasa campur aduk Melayu-Inggeris menandakan bangsa itu tidak maju dalam budaya dan fikirannya. Contohnya, bangsa Papua New Guinea, Hawaii dan Tahiti, yang menggunakan bahasa kacukan, misalnya bahasa ‘Pidgin’ atau ‘Creol’, ialah bangsa yang tidak maju. Ketiga, bahasa Melayu akan terus maju apabila kita maju dalam apa jua bidang dengan menggunakan bahasa kita sebagai alat kemajuan itu.