Sabtu, 9 Februari 2013

Azam 2013

Untuk memulakan bicara ini, saya harapkan kefahaman sudah dimaklumi bahawa sebagai satu bangsa yang agung, bangsa kita telah melalui perubahan zaman yang begitu lama sekali. Bangsa Melayu telah mendiami Alam Nusantara ini sama lamanya dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini. Buktinya penemuan fosil ‘Java man’ yang berusia setanding dengan ‘Peking man’ dan juga fosil yang ditemui di Benua Afrika. Tetapi malang bagi bangsa Melayu kerana catatan sejarahnya, sama ada terpenggal-penggal oleh perubahan alam, geopolitik ataupun asakan pengaruh luaran. Mungkin juga maklumat –maklumat tentang sejarah kesinambungan bangsa itu terhapus catatannya kerana kehilangan dokumentasi sejarah kesusasteraan bangsa dalam bentuk tulisan. Perubahan zaman memperlihatkan bahawa selepas tamatnya era Perang Dunia Kedua, setiap bangsa di dunia berebut-rebut untuk membebaskan daripada pengaruh isme. Perkembangan isme membuatkan dunia dihayalkan oleh perjuangan kaum proletariat menentang kaum borjuis. Tokoh-tokoh seperti Federich Engel, Karl Marx, Lenin, Tolstoy, Stalin dan sebagainya, amat menarik perjuangan kaum proletariat. Tetapi nyatanya dendangan kemakmuran dan kesamarataan amat menghampakan akhirnya. Satu demi satu negara-negara yang mendokong isme tadi mula meninggalkan fahaman komunisme, dan sosialisme, Manusia dijadikan tuhan dengan mempunyai nafsu. Nafsu inilah yang sering gagal untuk dikawal oleh manusia. Sifat kemuliaan dan kekudusan terus terhapus akibat godaan nafsu. Nafsu untuk berkuasa, memerintah dan akhirnya bertindak kejam terhadap orang lain. Begitulah apabila kita imbas kembali keagungan tokoh-tokoh seperti Lenin, Stalin, Caucesque, Mao Tze Tung, Pol Pot, Heng Samrin, akhirnya terpadam akibat tindakannya yang terlalu mengikut nafsu untuk kekal berkuasa. Janji-janji manis yang sentiasa ditabur bagi mendorong kaum proletariat untuk berjuang akhirnya dinodai dengan kekejaman dan penindasan. Di negara kita juga tidak terkecuali daripada tempias keghairahan untuk mendukung isme tadi. Perjuangan kemerdekaan yang berpanjangan mengakibatkan kaum nasionalis terpaksa berkompromi dengan golongan komunis untuk dijadikan landasan. Pada dekad itu pula kita lihat kecemerlangan perjuangan kaum komunisme di Indonesia. Kelompok yang mendukung kesusasteraan dan penulisan ( golongan yang terpelajar ) tertarik kepada fahaman perjuangan kaum buruh menentang kelompok ka[italis, yang kebetulan didominasi oleh golongan penjajah barat. LEKRA amat cemerlang sekali dalam mendepani aspirasi golongan tertindas di Indonesia. Tokoh-tokoh seperti Tan Malaka, Subandario dan akhirnya Sukarno tertarik kepada perjuangan isme ini. Akibat daripada senario ini memberi impak yang begitu besar kepada perkembangan perjuangan kemerdekaan di negara kita. Kelompok yang terdidik dalam bidang kesusasteraan dan penulisan lebih menonjol. Golongan ini mempunyai semangat waja dalam memimpin penentangan terhadap penjajah. Pun begitu kita agak musykil kerana perjuangan menghalau penjajah begitu hebat dilakukan tanpa memikirkan persediaan mental, dan fizikal andainya kaum penjajah berjaya dihalau lebih awal. Kita lihat tokoh-tokoh seperti Musa Ahmad, Shamsiah Fakih, Ahmad Boestamam lebih mirip landasan perjuangan mereka kepada fahaman ini. Kita juga tahu mereka juga orang yang begitu sayangkan bangsanya, Tetapi kemelut itu telah menjadi sejarah negara kita. Mungkin generasi muda gagal untuk memahami dan tidak berkesempatan untuk mengetahuinya. Sama ada ada kepentingan lagi untuk memberitahu golongan muda tentang kisah ini, pun boleh dibincangkan. Kerana sudah ada kefahaman, yang entah siapa yang menyarankan, sudah tidak perlu mengingati perkara yang telah berlalu. Apa yang perlu difokuskan ialah tentang bagaimana kita perlu mendidik anak-anak muda ini untuk menghadapi masa depannya. Cabaran dunia yang semakin mencabar, menyebabkan kita perlu memperlengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kepakaran untuk survival dunia globalisasi ini. Kesimpulan yang boleh kita lihat di sini adalah tentang kepentingan dan keperluan pendidikan. Kefahaman tentang sejarah mungkin mampu memberi pendorong kepada generasi muda supaya mempunyai iltizam dan kesungguhan dalam berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan, dan kehebatan tokoh-tokoh pendokong bangsa