Rabu, 10 Februari 2010

Perjuangan Belum Selesai

Orang Melayu telah melalui dua ombak revolusi minda di dalam 1,000 tahun ini. Pertama, semasa orang Melayu secara keseluruhannya memeluk agama Islam dan kedua, apabila kita mengalami proses peralihan zaman dari masyarakat berasaskan ekonomi pertanian ke yang berekonomi industri moden.

Pada hemat saya, proses revolusi minda yang kedua ini kita masih di tiga suku perjalanan, belum lagi selesai. Masih terdapat orang kita yang tidak mahu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Memandangkan keadaan sebegini, bagaimanakah bangsa Melayu harus meredah cabaran dunia di abad 21 sedangkan bangsabangsa maju telah melalui revolusi industrinya sejak 150 tahun lalu?

Belum sempat minda kita menyelami sepenuhnya arus gelombang revolusi zaman industri moden, didatangi pula arus zaman ekonomi pasca-industri moden berteraskan pengetahuan dan informasi. Apa yang pasti, peralihan zaman tidak menunggu kita.

Mungkin setahun dua atau tiga kali kita terbaca di surat khabar kisah seseorang di negara ini kehilangan wang kerana terpedaya dengan umpanan duit disimpan di dalam sebuah "peti ajaib" akan "bercambah". Janganlah kerana berkehendakkan kekayaan cepat, kita menjadi rakus. Masa depan yang gemilang hanya dapat digenggam dengan penguasaan ilmu dalam ribuan bidang dan bahasa. Ilmu hanya akan bersemayam di dalam minda yang terbuka luas. Marilah kita runtuhkan pagar minda yang bertembokkan kesangsian dan kerisauan, mahu dinding beralaskan bantal empuk keselesaan. Liberalisasikanlah minda dari segala kemelut. Bukalah ruang, isikan dengan ilmu yang membawa kepada tamadun baru.

Kesimpulannya, kita tiada pilihan lain. Tidak munasabah untuk kita berundur ke zaman ekonomi pertanian, tidak semudah kita balik ke kampung di hari lebaran untuk menikmati nostalgia sehari dua gaya hidup yang bebas dari hiruk-pikuk bandar raya yang deras lagi laju. Kita tiada pilihan selain dari terus mara. Maka, liberalisasikanlah minda kita

Dr Hussin Sarif
IPG Kampus Tun Hussein Onn
10.00 am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan