Ahad, 21 Mac 2010

Tatabahasa Sistemik

Tatabahasa Sistemik

1.0 Pendahuluan

Asalamualaikum. Selamat sejahtera kepada saudara-saudara sekalian. Agak lama juga saya tidak ‘update’ blog ini. Kesempitan masa yang menghalang saya menulis sesuatu untuk perbincangan bersama. Dulu semasa saya belajar peringkat sarjana di UKM, penyelia yang saya kasihi iaitu Prof Madya Datin Juriah Long mengesyurkan saya mengkaji tentang tatabahasa Sistemik. Ialah pemikiran kalangan ahli-ahli bahasa lewat yang berpegang kepada tatabahasa pegangan iaitu Tatabahasa Dewan amat taksub pemikirannya dengan aliran ahli linguistik Amerika. Semuanya rata-rata asyik membicarakan tentang dominasi aliran TG. Walaupun kita tahu pelopor TG itu sendiri sudah ketandusan idea untuk meneruskan perkembangan aliran TG itu.

Kita sepatutnya menyelidiki sejarah perkembangan Ilmu Linguistik di Amerika. Kita tahu kalangan peneroka dunia baru di Amerika dahulu berhadapan dengan masyarakat pribumi ‘Red Indian’. Kajian bahasa mereka lebih tertumpu kepada kajian bahasa-bahasa masyarakat ini. Kita juga tahu bahawa susur galur bahasa mereka berlainan sekali dengan bahasa kita, khususnya cabang bahasa Austronesia. Kita tahu juga bahawa bahasa itu sejagat, dan tentunya ada titi pertemuannya daripada segi pendeskripsiannya.

Aliran London School, lebih kepada konsep melihat bahasa sebagaimana yang dituturkan oleh penutur jatinya. Dan ini agak menarik perhatian kerana pada tanggapan saya bahasa yang betul itu adalah bahasa yang sebagaimana dituturkan oleh penggunanya. Ahli linguistik yang berpegang kepada pegangan ini juga dikenali sebagai Firthian. Ini berdasarkan kepada pengasasnya iaitu John Firth. Aliran diperkembang oleh Halliday, yang memperkenalkan tatabahasa Sistemik ( sila rujuk makalah awal saya ).

2.0 Tatabahasa Sistemik

Pendapat utama mereka ialah bahasa manusia itu adalah sesuatu yang bersistem. Mereka mengatakan bahawa ayat itu boleh dijeniskan kepada pelbagai sistem berdasarkan ada atau tiadanya unsur-unsur tertentu dalam ayat. Dan sistem itu bukan setakat sintaksis iaitu ayat, klausa atau frasa, malah sebahagian besar sudahpun memasuki peringkat morfologi.

2.1 Sistem Modalitas

Sistem ini boleh kita perhatikan dalam struktur ayat ; Subjek – Predikat – ( Objek ) – (Ajung) sahaja. Berdasarkan sistem ini ayat boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ayat modalitas dan ayat bebas modalitas.

Ayat modalitas adalah ayat yang mempunyai salah satu kata kerja modalitas. Sementara ayat bebas modalitas adalah ayat yang tidak mengandungi kata kerja tersebut




Kata modalitas ini pula dalam bahasa Melayu hadir sebelum kata kerja, contohnya

1. Kami hendak berangkat sekarang ( Ayat modalitas )
2. Kami menghantar benda itu.( Ayat bebas modalitas )

2.2 Sistem Aspek

Aspek pula menggambarkan sama ada ayat berkenaan bertandakan aspek perbuatan atau tidak. Dengan demikian timbullah ayat aspek

3. Kami sudah berangkat sekarang ( Ayat Aspek )
4. Kami telah menghantar benda itu ( Ayat Bebas Aspek )

Kedua-dua sistem ini wujud dalam pertuturan bagi menggambarkan suasana perlakuan itu. Kedua-dua perkataan ini kita kenali sebagai kata bantu modal dan kata bantu aspek dalam tatabahasa bahasa Melayu. Kata modal merujuk kepada bentuk perlakuan sedangkan kata aspek pula merujuk kepada masa perlakuan itu berlangsung.

Sekian untuk kali ini. Kita bersambung dalam pertemuan akan datang.

21.03.10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan