Kita sambung kuliah tentang Frasa Nama atau Frasa Nomina
Frasa Nama dalam konteks binaan ayat dalam bahasa Melayu boleh hadir pada subjek dan dan predikat. Frasa nama juga berperanan sebagai kata nama dan predikat nama. Frasa nama dalam bentuk minimal ialah kata nama, ganti nama atau juga frasa nama eksosentrik yang selapis.
Frasa Nama Eksosentrik adalah frasa nama yang diwakili oleh struktur bukan nama. Dalam bahasa Melayu frasa seperti ini boleh terdiri daripada kata kerja atau klausa subordinat.
Kata kerja yang mewakili frasa nama eksosentrik merupakan kata kerja yang berfungsi sesudah kata depan dalam frasa-frasa berikut:
1. bangun dari tidur.
2. pulang dari menuai.
3. kembali dari bertamu.
Kita lihat bahawaperkataan-perkataan tidur, menuai dan bertamu, sungguhpun berbentuk kata kerja, tetapi berfungsi sebagai kata nama. Hal ini demikian kerana kata-kata tadi boleh digantikan dengan kata nama atau frasa nama. Cuba kita perhatikan frasa-frasa berikut:
4. bangun dari tempat tidurnya
5. balik dari sawah
6. kembali dari rumah jirannya.
Daripada contoh-contoh di atas maka kata-kata kerja kedua DALAM FRASA-FRASA di bawah ini juga dikatogerikan sebagai frasa nama eksosentrik.
7. bangun tidur
8. balik kerja
Kata atau frasa kerja atau sifat boleh berdiri sebagai frasa nama eksosentrik apabila berfungsi dalam bahagian ayat yang biasanya mengambil nama eksosentrik, baik dalam bentuk minimal mahupun bentuk bukan minimal.
9. sepi menusuk jantungnya
10. Bersatu bertambah mutu
11. Menjerit-jerit di tengah orang ramai itu bukanlah kelakuan yang menurut adab tertib.
Klausa subordinat yang mewakili frasa nama eksosentrik boleh berfungsi sebagai subjek, objek atau predikat nama. Sebagai subjek ayat, klausa diwakili oleh klausa relatif yang ditandai oleh adanya kata penghubung yang dan dinamakan klausa subjek. Perhatikan contoh-contoh berikut:
12. Yang datang itu sahabat saya.
13. Yang kecil itu kepunyaan dia.
14. Yang perempuan itu orang seberang.
15. Yang kedua itu amat cergas.
Klausa subordinat yang berfungsi sebagai objek ayat disebut klausan objek. Klausa-klausa ini juga boleh terdiri dari klausa yang ditandai oleh yang di samping jenis yang lain. Contoh:
16. Dia memilih yang merah itu
17. Saya tidak tahu dia sakit
18. Saya percaya dia orang baik.
Dalam ayat-ayat di atas itu yang merah itu, dia sakit dan dia orang baik merupakan klausa yang berfungsi sebagai frasa nama eksosentrik.
Sekian kita sambung di lain kesempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan