Isnin, 6 Disember 2010

Apa itu berazam ?

Kalau kita imbas perjalanan hidup sepanjang tahun yang hampir berlalu, kita akan menyedari bahawa apa yang telah dialami, mungkin sebagaimana yang telah kita tekadkan pada awal-awal tahun dahulu. Saya tentulah menyedari bahawa apa yang diungkapkan sebagai memperbaharui azam sudah terlaksana atau belum. Saya selalu tidak pernah mendedahkan apa yang sebenarnya dihajati untuk diberitahu kepada orang lain. Memang benar sebagai seorang manusia, saya ni memanglah seorang yang agak kelihatan merendah diri. Almarhum ibu saya memang selalu menekan konsep itu dan saya akui telah mewarisi sikapnya itu. Saya juga tahu bahawa dengan sikap demikian akan menyebabkan saya selalu dipandang sebagai seorang yang lemah dan tidak ada kekuatan untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau tugasan. Pada saya misi dalam hidup ini sebenarnya ingin melihat bahawa kita ini boleh melaksanakan kewajipan tanpa menyentuhpun hak dan perasaan orang lain. Saya ingin melihat satu situasi yang menggambarkan kita ini seorang yang tinggi ilmunya, tinggi peribadinya, hebat sopan santunnya, hormat tutur katanya dan tidak pernah menyusahkan orang lain. Berlalunya tahun lepas, bermaksud telah berakhirnya satu episod yang besar dalam hidup saya. Sesuatu pencarian yang selama ini saya dambakan telah dapat saya capai. Walaupun segala kepayahan dan kegetiran telah saya lalui. Cuma pengajaran yang paling besar yang saya dapati adalah dalam hidup ini kita sebenarnya perlu berani melakukan sesuatu dengan tekad dan keazaman. Kita sebenarnya bersendirian pada masa itu. Analoginya begini, orang tidak akan suka melihat kita berani dan mempunyai daya berfikir yang kental. Tapi saya tahu akhirnya bahawa perasaan demikian terbit kerana selalu difikirkan bahawa keselamatan dan kewibawaan akan tercabar dan kita akan melupai kesetiakawanan selama ini. Saya sedia memahami dan saya bertekad bahawa tidak terdetik dalam hati saya untuk berbuat demikian. Biarkanlah saya untuk terus melalui hidup yang tidak begitu lama ini dengan aman dan tenteram. Mungkin pada tahun ini iaitu bermulanya tahun baru, kita telah menanamkan satu tekad dan azam baru. Begitu juga saya yang tidak mahu ketinggalan dalam menanamkan azam. Dan saya juga percaya saya akan berusaha untuk melaksanakan azam tersebut. Menjadi satu keseronokan sebenarnya jika pada penghujung tahun kita telah berjaya melaksanakan tekad itu. Pada saya azam pada tahun ini mungkin agak berlainan daripada azam-azam pada tahun-tahun sebelumnya. Ialah dalam hidup ini kita perlu tranformasi. Dan istilah itu tentulah bermaksud perbuatan dengan tujuan untuk melakukan sesautu yang positif. Saya menyedari bahawa dalam apa juga tingkah laku kita seharusnya adanya peningkatan, kerana akhirnya kita bakal dipertanggungjawabkan kelak. Dalam usia yang meniti senja, rasanya perubahan yang drastik perlu dilakukan. Kata-kata almarhum ibu saya bahawa kita hidup di dunia ini bukannya hendak menongkat langit. Dan saya fikir penujuan ke arah itu juga perlu difikirkan. Kesimpulannya, apa yang saya cuba utarakan dalam esei hujung tahun 2010 ini ialah kita perlu bertekad meneruskan kebaikkan yang kita lakukan selama ini. Cuma saya sentiasa mengingatkan diri saya sendiri bahawa kebaikkan itu jangan setakat dituturkan tetapi harus dilaksanakan. Selamat menyambut Awal Muharam dan Tahun Masihi yang bakal menjelang. Cetusan rasa Dr Hussin Bin Sarif 2010