Blog ini saya khususkan kepada sesiapa sahaja yang suka berkongsi maklumat tentang apa-apa sahaja tajuk yang bersangkut paut dengan kehidupan kita.
Khamis, 16 Disember 2010
Luahan Rasa, Luahan Hati
Salam, dan selamat sejahtera kepada pembaca blog saya ini.
Saya sudah agak lama berfikir dan baru sekarang terfikir untuk meluahkan apa yang saya fikirkan. Saya sentiasa berharap perbincangan dan memberi pendapat diberi ruang terlebih dahulu bukannya kita terus dicap atau terus dianggap tidak sepatutnya bercakap demikian. Atau juga kita terus dianggap terkeluar daripada aliran perdana dalam mengeluarkan pendapat. Ialah saya memang suka untuk bercakap sesuatu yang berbeza daripada yang biasa. Sering juga kita dengar orang mengatakan aliran sedemikian, dalam konteks negara kita dianggap sebagai menganuti fahaman 'Mahathirisme'. Menjadi kemusykilan kepada saya saranan-saranan untuk menjadi rajin, menjadi baik, menjadi maju, menjadi prograsif, tidak terkongkong dengan dogma spiritual mahupun politik telah dijadikan sesuatu yang menimbulkan kemarahan dan kebencian bangsa kita. Apa salahnya untuk menjadi rajin,menjadi baik, menjadi maju, menjadi prograsif. Tetapi perkara-perkara pokok ini akhirnya menjadi sumber kebencian oleh bangsa kita. Saya faham bangsa kita sentiasa tidaklah seagresif bangsa-bangsa lain. Kita bangsa yang sukakan suasana yang tenteram, santai, suka berhibur, taat kepada ajaran agama atau alim dan pak turut yang betul-betul menurut.
Saya, terus terang berasa amat kecewa apabila faktor agama dijadikan alasan untuk tidak mahu maju. Saya mungkin jahil tentang agama, tetapi saya tidak boleh terima jika ada yang mengatakan, kita tak boleh berniaga dan menjadi kaya takut riba, takut apabila kaya kita akan sombong, riak dan menjauhkan kita daripada berpeluang masuk syurga. Apa juga bidang yang menjurus kepada kemajuan, kita dilarang. Kita nak bersukan tidak boleh, nak menyanyi pun tidak boleh. Terfikir tak dalam benak orang yang berfikir demikian, boleh tak kita ceburi semua bidang itu dengan berjaya tetapi tetap mengekalkan pegangan ajaran agama kita. Saya tidak fikir agama kita demikian. Saya msih ingat ustaz semasa saya bersekolah agama dahulu ada mengatakan bahawa agama Islam itu syumul, agama Islam adalah satu cara hidup dan agama Islam itu mudah dan tidak akan menyusahkan umatnya.
Ada juga sekelompok kumpulan yang berpendapat, semua haram dan tidak halal. Makanan ini haram, ini tak halal, ini bercampur benda tak halal menjadi sesuatu yang mengerunkan. Memanglah makanan-makanan itu semuanya dihasilkan atau dikeluarkan oleh orang-orang bukan Islam jadi masalah, halal haram itu tidak akan timbul jika kita orang Islam sendiri sibuk berusaha untuk mengeluarkan sumber makanan. Kita sendiri menguasai teknologi membuat makanan, pembungkusan, pemasaran, saya rasa masalah halal dan haram ini tidak akan timbul. Apa hak kita memaki hamun si pengeluar makanan yang kita pertikai halal dan haramnya tadi. Mengapa kita beli dan makan makanan itu. Saya rasa ini berkaitan dengan budaya bangsa kita iaitu budaya 'Bangau Oh Bangau'. Kita menyalahkan orang lain untuk menutupi kelemahan kita sendiri.
Satu lagi yang menjadi keresahan saya adalah budaya berpuak-puak sama ada dalam kelompok kepartian, fahaman tarekat dan sebagainya. Kita seronok untuk berpecah dan kita sentiasa menganggap kelompok atau kumpulan kita sahaja yang betul. Saya rasa dalam negara kita, bangsa Melayu khususnya tak berupaya lagi untuk berpecah belah. Perpecahan akan menyebabkan kuasa kita semakin mengecil, dan akhirnya kita menjadi tidak berkemampuan untuk maju dalam semua bidang sama ada dalam kemajuan pelajaran, ekonomi, kekuasaan dan sebagainya.
Kesimpulannya, berfikirlah kembali tentang apa yang saya utarakan. Kalau salah biarkan pendapat yang bodoh ini tetapi kalau anda fikir ada kebenaran juga apa yang saya utarakan , fikir-fikirkanlah. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita perjuangkan demi kelangsungan dan kemajuan bangsa kita di tanah air tercinta ini, wasalam.