Jumaat, 4 Februari 2011

Bahasa Sebagai Gambaran Akal Budi Penuturnya.

Cara sesuatu bahasa digunakan dalam komunikasi merupakan suatu gambaran bagi hakikat kehidupan penuturnya. Pengguna bahasa yang berbeza menyampaikan maksud melalui wahana bahasa dengan cara berbeza. Bagi para penutur natif bahasa Melayu, makna atau tujuan sering diutarakan secara berkias, dan bahasa Melayu kaya dengan pelbagai bentuk kiasan untuk membolehkan hajat para penutur dinyatakan secara tidak langsung. Penyataan hasrat secara teus kadangkala ditanggapi sebagai kurang sopan. Asmah (1986:178) mengatakan dalam kebudayaan Melayu cara berkomunikasi secara tidak langsung memang sesuatu yang disengajakan. Penyampaian maksud pertuturan secara langsung merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan, bahkan dipandang sebagai satu perbuatan yang biadap. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika kita dapati bahasa Melayu itu kaya sekali dengan bahasa kiasan, bahasa sindiran, pepatah, petitih dan sebagainya. Hal ini menyebabkan kita peneliti bahasa Melayu boleh mengintai ke dalam dunia pemikiran orang Melayu. Bahasa dalah pengungkap rasa hati dan pemikiran penutur. Disebabkan akal budi adalah entiti yang bersifat abstrak, kita memerlukan sesuatu wahana untuk membolehkan ia diserlahkan.