Sabtu, 11 Julai 2009

Konteks dan Kesan Konteks

Konteks dan Kesan Konteks Menurut Thomas (1995:16-17), makna ujaran (utterence meaning) adalah ‘a sentence - context pairing ‘ atau makna konteks (contextual meaning). Konteks adalah seberkas andaian mengenai dunia, yang dibina secara psikologis oleh pendengar. Sesuatu konteks tidak terhad kepada maklumat mengenai persekitaran fizikal dan ujaran terdahulu. Ujaran terdahulu merujuk kepada topik pertama sesuatu perbualan walaupun terdapat topik-topik lain yang hadir selepasnya (Nor Hashimah, 1990:453). Dalam hal ini, Sperber dan Wilson (1986 : 15) menjelaskan bahawa konteks merangkumi perkara-perkara yang melibatkan masa depan, hipotesis saintifik atau kepercayaan keagamaan, kenangan lucu, andaian am tentang budaya, dan kepercayaan terhadap pemikiran si penutur. Kesemua ini sangat berperanan dalam pengiterpretasian sesuatu ujaran. Kesan konteks pula merupakan beberapa andaian yang dibina dan diproses oleh pendengar sebagai pembuka wacana. Set andaian itu sentiasa ditambah mengikut keperluan semasa menginterpretasikan sesuatu ujaran. Konteks yang berbeza akan menghasilkan interpretasi pragmatik yang berbeza. Kesan konteks boleh diperolehi dengan cara penggabungan konteks yang sedia ada, menguatkan lagi andaian yang sedia wujud, melakukan pertentangan maklumat dan menggugurkan andaian yang lemah. i. Penggabungan maklumat baharu dengan konteks yang sedia ada. Konteks yang sedia ada akan lebih difahami sekiranya terdapat maklumat baru yang boleh digabungkan bersama. Pendengar lebih mudah untuk merumus atau membuat andaian berdasarkan gabungan maklumat tersebut. Contoh: Anda bangun dari tidur dengan anggapan: a. Kalau hari hujan, perlawanan bola sepak pagi ini dibatalkan. Kemudian, anda bangun dan lihat melalui tingkap, dan mendapati: b. Hari hujan. Daripada andaian yang wujud (a) dan maklumat yang baru (b), anda dapat merumuskan beberapa maklumat baru (b), anda dapat merumuskan beberapa maklumat lanjut yang tidak dirumus, sama ada daripada andaian yang sedia wujud iaitu (a) atau maklumat baru semata-mata iaitu (b) untuk merumuskan (c). c. Perlawanan bola sepak itu dibatalkan. Untuk membuat rumusan (c), kita memerlukan kedua-dua andaian (a) dan (b) sebagai cadangan gabungan sebagaimana dalam rumus inferens. Maklumat baru dianggap lebih relevan kerana telah membolehkan proses penggabungan inferens mengambil tempat. Dalam hal ini, (a) dikenali sebagai konteks. Maklumat baru (b) dapat diproses bersandarkan konteks (a). Manakala (b) pula membayangkan secara konteks (c) dalam konteks (a). Lebih banyak kesan konteks dihasilkan, ujaran akan menjadi lebih relevan. ii. Maklumat baru akan memperkuatkan andaian yang sedia wujud. Sesuatu maklumat baru yang timbul amat berguna terutamanya bagi memperkuatkan andaian-andaian yang telah dibuat. Dengan perkataan lain, maklumat tersebut dapat mengesahkan andaian yang telah dibuat. Contoh: Anda bangun pagi dan terdengar bunyi derapan di atas bumbung. Anda membentuk satu andaian iaitu: a. Hari hujan. Anda kemudiannya membuka mata dan mendapati: b. Hari memang hujan Dalam kes di atas, (b) memperkuat dan mengesahkan andaian yang wujud sebelum ini seperti dalam (a). iii. Menggugurkan andaian yang lemah Sesuatu andaian dianggap lemah kerana tidak membantu menyokong atau mengesahkan kesan konteks. Andaian-andaian seperti ini perlu digugurkan. Contoh: Anda bangun pagi dan terdengar bunyi derapan di atas bumbung. Andaian yang dibuat ialah: (a) Hari hujan. Apabila anda membuka mata, anda dapati bunyi yang didengari tadi bukanlah bunyi hujan tetapi bunyi daun-daun yang bertaburan di atas bumbung. Rupa-rupa anda mendapati: (b) Hari tidak hujan. Kita andaikan apabila andaian baharu dan lama bertentangan atau bercanggah, andaian yang paling lemah antara kedua-duanya itu akan digugurkan. Lebih banyak andaian lemah digugurkan, andaian yang sedia ada semakin kuat dan menjadi bertambah relevan sesuatu ujaran itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan