Selasa, 17 April 2012

Mengapa Gaji Itu Perlu ?

Dalam apa bidang pekerjaan pun, kita bertujuan untuk mendapatkan gaji. Gaji itulah untuk kita menyara diri dan juga keluarga. Dan di negara kita gaji dibayar mengikut tahap pendidikan dan juga kepakaran. Sebab itu ada peperiksaan awam, sebagai kayu pengukur untuk membezakan pekerja di sektor awam. Tahap pendidikan inilah yang dijadikan asas perbezaan gaji yang dibayar oleh pihak kerajaan. Perkara ini tentulah sudah dimaklumi oleh semua orang dan sudah tidak perlu dipersoalkan lagi. Kalau tidak peperiksaan awam di negara kita tidak mempunyai nilai lagi. Lanjutan daripada itu tentulah sistem persekolahan kita akan hancur.

Dalam sektor swasta, disamping masih mengutamakan tahap pendidikan, maksudnya kelulusan dalam peperiksaan awam, juga telah mengambil kira tahap kepakaran dan kebolehan sebagai elemen tambahan dalam perbezaan pemberian gaji. Tetapi sektor swasta amat mengutamakan merit dan bagaimana seseorang pekerja itu dapat mengekalkan kepakaran dan kebolehannya. Kalau mereka gagal, berkemungkinan besar mereka akan diberhentikan atau dinasihatkan untuk berhenti. Ataupun prestasi perusahaan itu bergantung kepada keupayaan para pekerjanya. Kegagalan mengaji pekerja yang berdaya maju mungkin akan terus melumpuhkan operasi sesuatu perusahaan itu.

Senario ini harus difahami oleh semua orang. Maksud saya yang sudang bekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta. Cuma apa yang memusykilkan adalah keghairahan para pendokong sektor awam sekarang yang berlumba-lumba ingin mengejar kenaikan gaji tanpa memikirkan apakah seimbang dengan kerja yang disumbangkan. Apakah mereka jujur dalam melaksanakan tugas, menepati masa, melaksanakan sesuatu yang produktif terhadap organisasi. Tapi malangnya terdapat segelintir yang menjadi juara tidak berpuas hati ini adalah mereka yang sering ponting, sering menghilangkan diri, curi tulang, dan melakukan pelbagai tipu muslihat yang licik.

Percayalah sahabat-sahabat, bahawa sesuatu itu sudah ditakdirkan. Rezeki kita sama ada kita dalam sektor awam mahupun di sektor swasta sudah tertulis dan itulah rezeki yang bakal kita gunakan untuk menyara anak-anak kita. Tidak perlulah kita buat bising, tidak puas hati, nmengadu domba, mencucuk sana sini hinggakan organisasi menjadi tidak tenteram.