Khamis, 7 Februari 2013

Sastera Pencetus Perubahan Masyarakat

Pada zaman ASAS 50 terdapat polemik antara Sastera Untuk Masyarakat ataupun Sastera UntuK Seni. Polemik itu menjadikan golongan yang berkecimpung dalam penulisan pada masa itu terbahagi kepada dua kelompok. Dan ternyata golongan yang mendokong Sastera Untuk Masyarakat mendapat dokongan ramai. Mutakhir ini saya sebagai pemerhati sastera tanah air agak kecewa kerana perkembangan sastera semakin malap dan keadaannya semakin kritikal. Masalah ini bersandarkan kepada golongan yang pandai membaca dan menulis tetapi malas untuk menulis. Bukan setakat malas menulis tetapi malas juga dalam membuat pembacaan. Jadi pada fikiran kita yang waras ini, siapalah agaknya yang masih sudi membaca karya-karya sastera ini. Dalam penulisan-penulisan saya sebelum ini, saya sering mengatakan bahawa hasil-hasil sastera sama ada berbentuk puisi, novel, cerpen, drama dan sebagainya agak sukar difahami oleh pembaca. Andaiannya begini, kalau kita sempat bertanya berapa orangkah yang membaca cerpen yang tersiar dalam akhbar pada setiap minggu. Jawapannya tentulah menghampakan. Hasil tinjauan saya secara rambang, mereka tidak mahu membaca cerpen-cerpen itu kerana mereka tidak faham. Jadi di sini maksudnya, masyarakat tidak memahami mesej yang cuba disampaikan dalam cerpen-cerpen tersebut. Pada pendapat saya ada perlunya kita membuat satu garis panduan tentang hasilan-hasilan yang hendak kita tujukan. Mungkin ramai yang tidak setuju ( terutamanya bagi kelompok penulis yang tersohor). Saya tidak menyalahkan golongan ini. Kerana bagi saya golongan ini sudah mempunyai pemikiran yang tinggi dan tidak berasa nikmat jika membaca karya-karya yang hanya berbentuk catatan semula apa yang berlaku dalam masyarakat. Pada saya pun, saya lebih berminat untuk menikmati karya-karya yang sukar difahami, kerana di sebaliknya ada unsur falsafah dan unsur tersirat yang akan mencabar minda kita. Akhirnya, pada sayalah untuk berlaku adil, kita harus memberi tumpuan untuk siapakah sesuatu hasil penulisan itu hendak kita tujukan. Yang lebih penting adalah bidang kesusasteraan terus subur hingga ke generasi akan datang