Ahad, 17 Januari 2010

Apa Itu Bahasa ?

Bertemu kembali kita pada kesempatan ini. Saya mungkin diberi kesempatan untuk menukilkan sedikit bicara bagi mengisi ruang untuk kita mulai berdiskusi. Kerna kita sering berbicara tentang pemerolehan bahasa, jadi ada baiknya kita bercakap tentang apa itu bahasa. Ya apa itu bahasa ? Walaupun kita sering menggunakan bahasa ketika berkomunikasi tetapi kita tidak pernah menyelidiki mengapa kita mampu berbahasa. Bahasa adalah sistem yang arbitrari. Bahasa berupa simbol bunyi bersuara yang digunakan oleh manusia dalam berkomunikasi ( Wardhaugh, 1972). Tabiat berbahaa sering ditanda dengan keperluan bagi memahami struktur bahasa itu dapat dikuasai dengan menekankan kepentingan tingkah laku penutur bahasa itu. Bagi golongan behaviourisme kebolehan berbahasa peperlukan penutur menguasai aspek tingkah laku berbahasa yang dibina melalui sistem bahasa yang dapat diterima bersama.

Namun demikian bagi golongan mentalis kebolehan bahasa itu bukan sahaja disebabkan oleh peniruan atau pengaruh persekitaran tetapi kebolehan itu disebabkan pengetahuan sedia ada dalam jentera pemerolehan bahasa atau yang disebut sebagai LAD ( Language acquisition device. LAD ini wujud sejak daripada detik kelahiran manusia ke dunia. LAD ini juga wujud dalam akal budi manusia dalam bentuk tatabahasa sejagat.

Ahli mentalis juga menganggap bahasa terbina melalui pembinaan rumus bahasa yang dipelajari. Golongan ini menganggap bahasa terdiri daripada unsur-unsur dimana penggunaannya dikawal oleh rumus tatabahasa yang bersifat formal. Mereka menganggap rumus tatabahasa yang wujud perlu dipelajari secara beransur-ansur sehingga membentuk operasi kesatuan rumus yang utuh dan berupaya melakukan operasi membina ayat.

Berbahasa untuk tujuan berkomunikasi ada banyak caranya, tetapi yang jelas dalam dunia moden ini selain daripada berinteraksi secara bersemuka kita juga mampu menggunakan bahasa dalam bentuk bertulis. Bahasa dalam bentuk tulis juga sudah semakin dipermudah dengan adanya kemudahan digital. Kita mampu berkomunikasi di antara satu sama lain dalam lingkungan beribu-ribu kilometer hatta menjangkau ke angkasa lepas.

Walaupun demikian kita sering alpa bahawa cara berkomunikasi secara tradisi iaitu secara bersemuka dengan mengungkapkan ujaran-ujaran secara verbal sering dikesapingkan. Kita lebih lancar mengeluarkan idea di atas kertas atau mengetik papan monitor dan kemudian ditranmisi dalam bentuk digital. Ironisnya apabila kita dikehendaki bercakap secara biasa dalam bentuk ujaran, kita menjadi gugup dan akhirnya gagal untuk menyampaikan tujuan ujaran sebenarnya.

Fenomena inilah yang cuba kita sebagai guru bahasa cuba untuk mengatasinya. Kita dipertanggungjawabkan untuk melahirkan pelajar yang petah untuk berbicara, berbincang dan berhujah. Oleh itu kita seharusnya meneliti dan mempersiapkan diri dengan pendekatan dan pedagogis yang bertepatan dengan objektif itu.

Dalam perbicaraan kita seterusnya akan diketengahkan ansur maju dalam pendidikan bahasa. Kita mulai dengan kemahiran mendengar. Secara biologisnya kita ketahui bahawa manusia pada peringkat awal dalam pembelajaran untuk berkomunikasi adalah mementingkan kemahiran untuk mendengar. Mana mungkin manusia itu terus-terusan mampu bercakap. Golongan yang mendokong falsafah behaviouris dan mentalis pun menyetujui bahawa pemerolehan berbahasa itu melalui peniruan. Cuma yang membezakan kita manusia dengan haiwan ialah kewujudan LAD itu tadi. Tanpa LAD kita mungkin terus-terusan ditohmah oleh pengikut Drawinisme sebagai makhluk yang berevolusi daripada monyet.

Dr Hussin Sarif
Jabatan Pengajian Melayu
IPG Tun Hussein Onn
Batu Pahat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan