Blog ini saya khususkan kepada sesiapa sahaja yang suka berkongsi maklumat tentang apa-apa sahaja tajuk yang bersangkut paut dengan kehidupan kita.
Ahad, 13 Februari 2011
Sajak Perpisahan
Khas Untuk Tn Haji Zaid Bin Ali
Timbalan Ketua Jabatan
Jabatan Pengajian Melayu
SEBUAH PERPISAHAN
Nukilan hambamu yang ikhlas
Dr Hussin Bin Sarif
Tuan Haji...
Siapalah kita
Untuk mengatur pertemuan ini
Tapi Allah takdirkan jua.
Di sini, di bumi bumi IPG ini
Fikrah dan jiwa kita subur
Dengan persahabatan yang luhur.
Tuan Haji...
Siapalah kita
Untuk menahan perpisahan ini
Tapi Allah takdirkan jua
Tapi....
Kerna hati-hati kita telah bertaut
pada ukuhuwah-Nya
Walaupun jauh di mata
Kita tetap teguh abadi di jiwa.
Tuan Haji...
Selamat tinggal suara-suara ceria,
Dewan Sri Budiman dan Balai Ilmu,
Bilik kuliah dan anak-anak keletah,
Pejabat pentadbiran dan staf ikhlas,
Bilik JPM dan timbunan buku,
Ruang kantin tempat mesra terjalin.
Tuan Haji...
Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah,
Bercampur gembira bersisip gundah,
Bergema didikan beralas madah,
Selamat tinggal sebuah nostalgia.
Tuan Haji...
Kini,
Tibanya satu kepastian,
Selamat datang persaraan,
Kerana segalanya hanya kesementaraan,
Melengkapi sebuah perjalanan,
Sebuah kehidupan!
Bak air yang mengalir,
Tiba jua ke muaranya,
Di sini kami pasti merindu,
hakikat seorang Ilmuwan,
Timbalan Ketua Jabatan yang dikasihi,.
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu,
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu!
Selamat berangkat dalam doa berkat,
Selamat istirahat dari segala kesumat,
Selamat bersara dengan senyuman mesra!
Senyumlah seindah suria,
Umpama mentari pagi,
yang mesra sekali.
Malam Ahad
13.02.2011