Blog ini saya khususkan kepada sesiapa sahaja yang suka berkongsi maklumat tentang apa-apa sahaja tajuk yang bersangkut paut dengan kehidupan kita.
Ahad, 24 April 2011
Pantun Melayu
Saya amat meminati pantun. Pantun adalah khazanah kebijaksanaan Melayu yang telah kita warisi turun-temurun sejak zaman awal ketamadunan Melayu. Kita tidak tahu bila agaknya pantun itu menjadi wadah pemikiran Melayu. Mungkin kita agak mustahil untuk mengetahuinya kerana tiadanya catatan sama ada dalam bentuk tulisan, manuskrip mahupun lakaran di monumen yang dibina oleh tamadun Melayu. Monumen-monumen yang terkenal seperti Angkor Wat, Candi Prambanan dan juga Candi Borubodur mungkin mempunyai lakaran-lakaran tertentu tetapi bukannya dalam bentuk inskripsi tulisan tetapi hanyalah dalam bentuk lakaran mitos Hindu dan Buddha.
Sebagaimana bangsa-bangsa lain di dunia ini, orang Melayu seharusnya berbangga dengan pantun ini, kerana ramai sarjana berpendapat pantun sebenarnya adalah kepunyaan asli bangsa Melayu. Pantu yang kita kenali sebagai ungkapan berangkap sama ada dua baris, empat baris, enam baris dan lapan baris dan mempunyai persamaan rima perkataan yang digunakan. Yang menjadi kehebatan pantun adalah bagaimana pemilihan perkataan yang mempunyai persamaan rima telah dapat diungkapkan secara spontan. Dan yang menjadi keanihan seterusnya adalah di dalam pantun itu terungkap maksud yang berkias dan mempunyai maksud tersirat.
Berpegang kepada latar belakang ini, saya sering mengatakan dalam mana-mana polimik, seminar dan juga pembentangan kertas kerja bahawa orang Melayu sejak dahulu memang amat mementingkan keunggulan minda. Bagaimana mungkin mereka mampu mengungkapkan pantun yang begitu tinggi nilai falsafahnya tanpa memaksimumkan peranan mindanya.
Jadi kita harus melihat semula mitos bahawa Melayu itu malas, tak pandai dan suka kepada hiburan. Kemalasan dan kemunduran bukannya sesuatu yang diwarisi. Kita perlu melihat di mana kepincangan ini terjadi. Saya melihat kehancuran sesuatu bangsa itu berlaku jika kita melupakan peranan kita sebagaimana yang diwariskan kepada kita. Maksud saya ialah, kita tidak boleh melupakan peranan minda kurniaan tuhan. Minda adalah anugerah yang paling besar dikurniakan oleh tuhan kepada kita. Jadi tidak ada kompromi bagi kita untuk sentiasa membicarakan kepentingannya dalam kehidupan kita.